Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) melancarkan jersi baharu bagi saingan musim 2019, meliputi ketiga-tiga pasukan negeri bagi Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam pada itu berharap peruntukan RM5 juta kepada FAP dapat memperbaiki kedudukan Pulau Pinang.

“Bangkit… Bangkit… Bangkit Semula!” Haria Penang Haria!”

“Kita memang tidak boleh mengharapkan tiba-tiba Pulau Pinang muncul sebagai juara, tetapi mungkin memerlukan dua tiga tahun untuk membina semula semangat pasukan ini,” jelasnya dalam sidang media selepas berucap di dewan besar Hotel The Light semalam.

Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee dan Presiden FAP, Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Setiausaha Kehormat FAP, Dastagir V. K. Mohd. Yassin.

Pada majlis sama, turut diumumkan barisan pengurusan dan pemain utama pasukan Harimau Kumbang, dengan Ahmad Yusof adalah Ketua Jurulatih pasukan baharu.

Difahamkan, jersi warna biru untuk beraksi di gelanggang sendiri, manakala gelanggang lawan (putih). Jersi hitam merupakan pakaian alternatif sekiranya berlaku pelanggaran warna jersi pihak lawan.

 

-23 Januari 2019