Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan penganjuran Program “Family Fun Day @ Seberang Perai adalah selaras dengan visi Penang2030: A Family-focused Green and Smart State that Inspires the Nation.
Beliau berkata, keluarga yang sihat dapat melahirkan sumber manusia yang mampu menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran berterusan bagi sesebuah negara.
Chow Kon Yeow bergambar kenangan bersama-sama tetamu undangan khas pada majlis penutup Program Family Fun Day @ Seberang Jaya.
“Keluarga merupakan sebuah unit asas terpenting dalam sesebuah masyarakat, negeri dan negara.
“Justeru, individu yang mempunyai sokongan emosi serta psikologi kuat daripada keluarga cenderung lebih unggul dalam kehidupan serta mampu menyumbang kepada negara.
“Atas sebab yang sama jugalah Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menikberatkan keseimbangan masa antara kerjaya dan keluarga bagi setiap individu di negeri ini,” katanya pada majlis penutup program berkenaan yang berlangsung dekat Kompleks Sukan & Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini sebentar tadi.
Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Setiausaha Pembandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembamgunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) Ong Bee Leng serta Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Marhani Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa di samping membentuk sebuah negeri berorientasikan kekeluargaan, Kerajaan Negeri juga sedang berusaha gigih untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bersih dan hijau.
“Kerajaan Negeri memahami kepentingan untuk mengambil kira faktor persekitaran secara menyeluruh ketika membentuk dasar-dasar Pulau Pinang 2030.
“Keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan ekologi mampu menyumbang kepada usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri contoh yang kita impikan,” ujarnya.
Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang program berlangsung antaranya sukan dan permainan kanak-kanak, bengkel, pertandingan bercerita, program kitar semula serta cabutan bertuah.
Lebih menarik apabila G. Omprekas, 23, berjaya melakukan aksi luar biasa dengan menarik kenderaan pacuan empat roda hanya menggunakan jari kelingking sejauh 86.5 meter selama 6 minit.
Keupayaannya itu sekaligus membolehkan beliau mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
 
((Buletin Mutiara))