Seorang graduan sebuah universiti awam kerugian RM7,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang mendakwa lelaki itu terlibat kes penyeludupan wang haram sebanyak RM2.6 juta, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 23 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah dan memberitahu mangsa perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Kangar untuk kes langgar lari serta penyeludupan wang haram di negeri tersebut. 

"Berikutan percaya dia terlibat dengan kes langgar lari dan penyeludupan wang haram sebanyak RM2.6 juta, mangsa  telah membuat transaksi simpanan miliknya ke akaun bank yang diberikan untuk meminda tarikh perbicaraan," katanya di sini hari ini.

Katanya mangsa yang turut ditunjukkan waran tangkap menerusi aplikasi WhatsApp telah melakukan dua transaksi pindahan wang ke dalam dua akaun bank berlainan semalam melibatkan wang sebanyak RM7,000.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diminta membuat pembayaran lagi namun lelaki itu tidak berbuat demikian setelah mendapati panggilan tersebut daripada sindiket ‘scammer’ dan mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dua pemilik akaun itu dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

 

((Bernama))

30 Julai 2019