Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 usahawan digital berupaya dilatih tahun ini.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, pendedahan mengenai pemasaran digital dalam kalangan usahawan negeri ini mula menunjukkan momentum dan perkembangan positif apabila sehingga kini sebanyak 750 usahawan telahpun berjaya dilatih.

“Sekarang Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah berjaya melatih 750 usahawan, kita optimis sasaran 1,000 usahawan digital boleh direalisasikan memandangkan kita ada tempoh beberapa bulan lagi.

“Daripada jumlah (1,000 usahawan) ini, kita mahu 30 peratus daripadanya akan muncul sebagai usahawan berjaya dan mampu meningkatkan jualan melalui platform digital, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan pertama tahun hadapan,” ujarnya ketika hadir merasmikan Program Netpreneur Siri 2, 2019 dekat Hotel Vistana, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Bahagian Usahawan PDC, Ku Zaleha Ku Iskandar, Ashley Ong (Mahir Digital Bersama Google Trainer) dan Noor Azzam Yazizul Ghafar (Pengarah Negeri SMR Corporation Pulau Pinang).

Penganjuran Program Netpreneur Siri 2 tersebut adalah hasil usaha sama di antara PDC, Google Malaysia dan SME Corp.

Menurut Abdul Halim, program berkenaan diadakan bertujuan untuk membimbing dan membantu usahawan Pulau Pinang bagi memperkukuhkan lagi kedudukan sebagai pengguna yang celek IT dan mempunyai kepakaran serta kebolehan selari dengan zaman teknologi digital kini.

“Program ini telah membuka peluang lebih besar kepada usahawan di negeri ini khususnya untuk menceburkan diri dalam e-dagang dan e-digital untuk mempelajari selok belok daripada pihak Google Malaysia sendiri tentang aplikasi-aplikasi sedia ada seperti Google My Business dan lain-lain apps yang dapat membantu mempromosikan seterusnya melonjakkan jualan produk-produk usahawan.

“Dengan kebolehan ini juga akan, usahawan mempunyai kemampuan untuk mempromosikan produk-produk keluaran tempatan khususnya produk keluaran Pulau Pinang ke luar negeri dan juga seluruh dunia.

“Bagi menyahut seruan melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang celik IT dan berdaya saing, Kerajaan Negeri, SME Corp dan PDC serta agensi-agensi kerajaan yang lain akan sedia membantu usahawan dan bakal usahawan untuk membangunkan perniagaan mereka melalui program kerjasana Netpreneur ini,” ujarnya lanjut.

Difahamkan bahawa program pemasaran digital bersama-sama Google Malaysia tersebut adalah di bawah program yang dinamakan mahir digital bersama google, di mana ia telah berjaya melatih beribu-ribu usahawan menggunakan teknologi digital.

 

((Buletin Mutiara))

24/9/2019