Pulau Pinang kekal menduduki tempat pertama daripada segi purata hasil pengeluaran padi dalam negara pada tahun lepas.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Pulau Pinang mencatatkan pengeluaran sebanyak 5.428 tan per hektar pada 2018 iaitu merosot sebanyak 0.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Walaupun mencatatkan sedikit penurunan, purata hasil pengeluaran padi kita (Pulau Pinang) masih tinggi berbanding peringkat nasional iaitu sebanyak 4.19 tan per hektar pada tahun 2018.

 

“Pada tahun lepas, kita berdepan pelbagai cabaran besar seperti masalah air, kemarau, banjir, wabak penyakit, ribut dan sebagainya tetapi hasil pengeluaran masih kekal tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Justeru, tahniah diucapkan kepada petani-petani dan pesawah khususnya Jabatan Pertanian (Negeri Pulau Pinang) kerana berjaya mengekalkan pengeluaran pada tahap yang baik berbanding tempat-tempat lain,” katanya semasa merasmikan program Hari Ladang dan Majlis Menuai Padi Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dekat Kampung Pantai Kemelun, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim; Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Negeri Pulau Pinang, Noor Mazirah Teh; Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang, Anuar Mat Esa; Ketua Kelompok Padi Pantai Kemelun, Razlan Mohamad; Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Shabani Ismail; Pegawai Pertanian Daerah SPU, Muhamad Shahizi Baharom serta ramai lagi.

Walau bagaimanapun, Afif mengingatkan bahawa masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi dalam usaha mencapai sasaran yang ditetapkan Kerajaan Negeri iaitu 6 tan per hektar setahun.

“Oleh itu, kita perlu lebih berwaspada dan komited untuk jalinkan kerjasama antara pesawah dengan pihak teknikal iaitu pihak jabatan (berkaitan) manakala komitmen Kerajaan Negeri pula adalah memastikan infrastruktur penanaman padi sentiasa ditambah baik,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga komited untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan di atas tanah-tanah pertanian yang aktif menjalankan penanaman padi.

“Akibat daripada tekanan pembangunan, ramai pesawah berhenti mengusahakan bendang dan menukar tanah mereka menjadi bangunan seperti rumah, bengkel, gudang dan pelbagai lagi.

“Setakat hari ini, dalam jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) dan jawatankuasa di peringkat Kerajaan Negeri kita putuskan tidak ada kelulusan diberikan kepada tanah-tanah pertanian dan tanah padi dan sekiranya ada pihak yang melakukan perkara sedemikian, maknanya ia dilakukan secara haram.

“Justeru, saya memerlukan kerjasama semua pihak kerana lagi ramai pihak bercakap soal ini maka lagi banyak tanah dapat dipertahankan. Oleh itu, pesawah perlu memainkan peranan membantu Kerajaan Negeri dengan menyalurkan maklumat sekiranya perkara ini berlaku,” jelasnya lagi.

Difahamkan, Pulau Pinang mempunyai sejumlah 13,850 petani yang mana daripada jumlah tersebut seramai 10,131 adalah pesawah yang penting dalam menyumbang kepada ekonomi dan jaminan bekalan makan negara.

((Buletin Mutiara))

7.10.2019