Seorang lelaki melecur di beberapa anggota badan dalam satu kebakaran di sebuah kilang pembuatan barangan plastik di kawasan Perindustrian Permatang Tinggi dekat sini awal pagi ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Fauzi Suid hari ini berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu mendapat kecederaan ketika keluar dari kawasan kilang yang turut menyimpan bahan asid itu.

“Mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,” katanya sambil menambah pihaknya masih belum mendapat perincian identiti mangsa.

   

JBPM dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.21 pagi dan sepasukan 50 pegawai dan anggota yang tiba di lokasi itu mendapati kebakaran itu berlaku di tempat penyimpanan bahan asid untuk memproses barangan plastik. 

"Lebih 30 tong atau bekas yang mengandungi pelbagai jenis bahan asid seperti Asid Nitrik, Soda Flakes, Hydrogen Peroxide, Asid Sulfurik, Interox ST-50 dan Natrium Hidroksida yang diletakkan di luar bangunan kilang itu terbakar," katanya.

Mohd Fauzi berkata sebuah pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) jabatan itu turut berada di tempat kejadian untuk memantau operasi pemadaman itu yang menghadapi kesukaran berikutan tindak balas bahan asid berkenaan.

Katanya pasukan memadam kemudiannya menggunakan sebuah jentera ‘forklift’ untuk mengalihkan bahan-bahan berkenaan sebelum memadamkan sepenuhnya kebakaran itu kira-kira pukul 5.33 pagi.

Punca kebakaran dan kerugian dari kejadian itu masih lagi dalam siasatan.

 ((Foto : FB JBPM Pulau Pinang)

20 Feb 2019