Syarikat pengendali Projek Sistem Tempat Letak Kereta Secara Pintar, Penang Smart Parking (PSP), HieTech Padu Berhad diberikan surat tunjuk sebab berikutan aplikasi versi Android fasa perintis bagi projek berkenaan masih tidak dapat di muat turun oleh pengguna sehingga kini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri memandang serius terhadap permasalahan tersebut dan mengarahkan ia diselesaikan dengan kadar segera.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) difahamkan projek perintis ini (PSP) tidak berjalan dengan lancar selepas dirasmikan pada 18 Ogos lalu dan Kerajaan Negeri sememangnya mengambil serius tentang perkara ini.

“Hasrat kita untuk menjadikan (Pulau Pinang) sebuah negeri pintar tidak boleh terjejas dengan kejadian-kejadian seperti ini,” katanya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Naib Presiden Eksekutif Syarikat Heitech Padu Berhad, Abdul Halim Md. Lassim dan Pengarah Projek Penang Smart Parking, Safarudin Ban.

Dalam pada itu, Abdul Halim ketika mengulas mengenai permasalah yang berlaku berkata bahawa aplikasi PSP versi Android yang sepatutnya boleh dimuat turun melalui Google Play Store pada jam 12.01 malam pada Isnin lalu (19 Ogos) berdepan masalah teknikal.

“Kita berdepan masalah dengan Google Play Store kerana terdapat beberapa polisi dan kriteria yang perlu dipatuhi dan dipenuhi.

“Polisi dan kriteria ini membolehkan pihak syarikat (HieTech Padu Berhad) menggunakan Play Store untuk capaian awam.

“Pada masa ini, pihak syarikat sedang berhubung rapat dengan Google Support Services untuk memenuhi keperluan tersebut yang dijangka mengambil masa selama beberapa hari untuk diselesaikan,” jelasnya.

Justeru, katanya sebagai alternatif, pihaknya akan menggunakan capaian melalui Portal PSP bagi pengguna Andoid untuk memuat turun dan menggunakan aplikasi berkenaan.

 

“Bagi pihak HeiTech (Padu Berhad) kami akur dengan teguran dan amaran oleh kedua-kedua pihak berkuasa tempatan (MBPP dan MPSP) serta komited untuk terus memperbaiki kekurangan dan beriltizam untuk menyampaikan yang terbaik kepada rakyat di negeri ini.

“Kami juga memohon maaf atas segala permasalahan yang dihadapi rakyat berhubung isu ini,” ujarnya lagi.

Kesal terhadap perkara itu, Tung Seang menjelaskan bahawa pihak MBPP telah mengeluarkan surat amaran dan tunjuk sebab kepada pihak syarikat berkaitan.

“Walaupun kami telah berikan surat amaran dan tunjuk sebab tetapi kami berharap agar pihak syarikat dapat menyediakan pelan mitigasi bagi mengatasi masalah ini.

“Kita amat dukacita dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya jika masalah sama berulang pada masa akan datang,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Rozali juga berkata pihak MPSP akan mengeluarkan surut tunjuk sebab kepada syarikat berkenaan hari ini.

 

“ Bandar Pintar atau ‘Smart City’ bermakna satu berubahan yang boleh memudahkan rakyat dan bukannya membuatkan rakyat keliru.

“Sebagai pihak bertanggungjawab menyediakan tempat letak kereta untuk kemudahan rakyat, kita (MPSP) tidak dapat menerima sebarang penjelasan,” ulasnya.

Difahamkan, sebanyak 647 petak tempat letak kereta di sekitar George Town dan 350 petak di Lorong Langsat serta Icon City di Seberang Perai terlibat dalam pelaksanaan fasa perintis Penang Smart Parking.

 

((Buletin Mutiara))

20-08-2019