Selepas melalui proses kajian dan penelitian yang panjang selama kira-kira dua tahun, Rancangan Struktur Negeri Pulau (RSNPP) 2030 akhirnya berjaya diwartakan pada 24 Oktober lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kejayaan mewartakan RSNPP 2030 mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri ke arah memastikan hala tuju pembangunan Pulau Pinang yang lebih jelas bagi tempoh sehingga 2030 selaras dengan Visi Penang2030.

“RSNPP 2030 yang dimulakan sejak lebih dua tahun akhirnya dapat disempurnakan dan diwartakan untuk menjadi dokumen perancangan bagi tempoh 10 tahun akan datang.

 

“Justeru, diharapkan dokumen RSNPP 2030 dapat dijadikan panduan serta rujukan utama kepada seluruh jentera Kerajaan Negeri dalam memastikan semua dasar dan polisi serta projek-projek yang dicadangkan dapat dilaksana bagi manfaat seluruh warga negeri,” ujar beliau pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Turut serta, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Rosnani Mahmod serta Timbalan Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia@ Pulau Pinang, Mohd. Bashir Sulaiman.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa penyediaan RSNPP 2030 adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Akta ini menyatakan bahawa sesuatu rancangan struktur yang mula berkuat kuasa adalah tertakluk kepada kajian semula setiap lima tahun seiring dengan penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negeri.

“Oleh itu, persepsi bahawa RSN dan Rancangan Tempatan langsung tidak boleh diubah adalah tidak benar kerana akta ini membenarkan kaji semula setiap lima tahun mengikut perubahan semasa dan keperluan guna tanah atau pasaran yang memerlukan pindaan tertentu,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Difahamkan, RSNPP 2030 merupakan hasil kajian semula terhadap RSNPP 2020 yang diwartakan pada 2007 yang akan tamat tempoh perancangannya menjelang 2020.

Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri kini sedang menyediakan Rancangan Tempatan bagi kedua-dua bahagian iaitu di pulau dan Seberang Perai di bawah peruntukan akta yang sama.

“Rancangan Tempatan bagi bahagian Seberang Perai dijangka dapat diwartakan pada Jun 2020 manakala untuk bahagian pulau, Disember (2020),” jelasnya.

Dalam pada itu, semasa menjawab soalan pemberita, Mohd. Bashir menjelaskan bahawa dokumen RSNPP 2030 telah memasukkan ketiga-tiga pulau buatan di perairan selatan pulau Pulau Pinang (PSR).