Penutupan dua bilik darjah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lin Hwa, Butterworth adalah sebahagian daripada langkah pencegahan penularan wabak influenza.

Mengulas lanjut, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin walau bagaimanapun memaklumkan bahawa kes jangkitan influenza di negeri ini masih lagi terkawal.

“Apabila pihak Jabatan Kesihatan menerima notifikasi berkaitan sebarang kes influenza, siasatan kes akan terus dilakukan dan mengesan kes-kes aktif yang berlaku dalam komuniti.

“Jika terdapat dua atau atau lebih kes di premis sama, maka cadangan penutupan premis akan dibuat bagi tujuan mencegah penularan wabak, tapi keputusan (penutupan kelas) adalah dibuat oleh pihak sekolah.

“(Dan) pihak sekolah mengambil keputusan menutup dua kelas ini kerana saya difahamkan ada lebih kurang 18 murid terlibat secara keseluruhannya di dua kelas ini,” jelasnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh serta Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan).

Justeru, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya mengingatkan ibu bapa supaya mengambil peranan aktif sekiranya anak-anak mereka mempunyai simptom-simptom dijangkiti influenza.

“Bagi anak-anak yang masih terhindar daripada jangkitan adalah dinasihati untuk mendapatkan vaksin influenza sebagaimana disarankan oleh pihak Jabatan Kesihatan.

“Paling penting adalah aspek penjagaan kebersihan terutamanya di pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah perlu sentiasa dilaksanakan,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan dua kelas Tahun 2 di SJKC Lin Hwa ditutup selama 11 hari bermula hari ini selepas 18 muridnya dijangkiti virus Influenza A.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad dilapor berkata, pegawai kesihatan daerah Seberang Perai Utara (SPU) telah berbincang dengan pihak sekolah dan mencadangkan agar dua kelas berkenaan ditutup susulan jangkitan tersebut.

 

((Buletin Mutiara))